Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 60

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu "Bunga Bakung Perjanjian."

Mazmur Daud. Untuk pengajaran. Ketika dia berperang melawan Mesopotamia dan Aram-Zoba, Yoab pulang lalu membunuh dua belas ribu orang Edom di Lembah Garam. 1Ya Allah, Engkau telah menyingkiri kami, Engkau telah membiarkan kami tewas;

Engkau telah murka – terimalah kami semula!

2Engkau telah membuat bumi bergegar, Engkau telah membuatnya pecah belah;

pulihkanlah semula, kerana bumi sedang gementar.

3Engkau telah menimpakan kesengsaraan ke atas umat-Mu;

Engkau telah memberi kami minum anggur kekeliruan.

4Engkau telah mengurniakan panji-panji kepada orang yang takut kepada-Mu,

untuk dikibarkan kerana kebenaran.

5Supaya orang yang Kaukasihi dapat diselamatkan,

lepaskanlah dengan tangan kanan-Mu dan dengarlah rayuanku.

6Allah telah berfirman dalam kesucian-Nya:

"Aku akan bergembira, Aku akan membahagikan tanah Sikhem

dan mengukur serta mengagihkan Lembah Sukot.

7Gilead milik-Ku, Manasye milik-Ku;

Efraim juga topi besi-Ku,

Yehuda tongkat kerajaan-Ku.

8Moab tempat pembasuhan-Ku,

ke atas Edom akan Kulemparkan kasut-Ku;

ke atas Filistea Aku akan menang."

9Siapa akan membawaku ke dalam kota perkasa itu?

Siapa akan memimpinku ke Edom?

10Bukankah Engkau, ya Allah, yang menyingkiri kami

dan Engkau, ya Allah, yang tidak menyertai tentera kami?

11Berilah kami pertolongan daripada kesusahan,

kerana pertolongan daripada manusia tidak berguna.

12Melalui Allah, kita akan berjuang berani,

kerana Dialah yang akan menumpaskan musuh kita.